Thursday, February 5, 2015

Seorang guru, 3 pelajar cedera di Kuala Lipis



KUALA LIPIS - Seorang guru dan tiga pelajar cedera apabila kereta yang mereka naiki terlanggar bongkah simen sebelum terbalik.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 8 pagi semalam di kilometer 5 jalan Lipis-Benta berhampiran Kampung Binjai di sini.

Menurutnya, kereta jenis Toyota Camry yang dipandu guru berkenaan, Azaman Aziz bersama tiga pelajar iaitu Nor Syamira Che Ibrahim, 17; Ainun Najihah Bahari dan Nor Atirah Zaira masing-masing berusia 13 tahun sedang dalam perjalanan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Setiawangsa menghala ke Benta.

“Sampai di tempat kejadian, kereta yang dipandu oleh Azaman telah terlanggar bongkah simen yang terdapat di laluan berkenaan sebelum hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan serta terbalik,” katanya di sini, semalam.

Abdul Razak berkata, Azaman yang juga Guru Penolong Kanan Kokurikulum sekolah terbabit mengalami kecederaan di bahagian badan.

“Selain itu, Nor Syamira yang merupakan pelajar Tingkatan 5 mengalami kecederaan parah di bahagian pinggang manakala Nor Atirah yang juga pelajar Tingkatan 1 patah tangan.

“Seorang lagi mangsa, Ainun Najihah pelajar tingkatan 1 sekolah berkenaan kecederaan retak jari kanan,” katanya.

Beliau berkata, semua mangsa telah dihantar ke Hospital Lipis untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mengetahui tentang kejadian berkenaan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis di talian 093122222 untuk membantu siasatan.

Difahamkan kesemua mangsa dalam perjalanan untuk pertandingan bola baling Majlis Sukan-sukan Daerah.

No comments:

KEJOHANAN MERENTAS DESA  SK LADANG KOTA BAHAGIA 2022 Tarikh : 03.06.2022 Hari : Jumaat Tempat : SK Ladang Kota Bahagia Masa : 08:00-10:00 pa...