Wan Kadri Wan Mahussin
Beliau berkata, helikopter itu yang dinaiki Ahli Parlimen Rompin, Tan Sri Dr. Jamaludin Jarjis dan lima orang lagi dalam perjalanan dari Pekan ke Kuala Lumpur.

''Saya turun daripada helikopter tersebut di Kota Bahagia, Rompin kira-kira pukul 4 petang selepas bersama-sama mereka menghadiri majlis perkahwinan anak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan.

''Pada awalnya Tan Sri (Jamaludin) hendak ke Bandar Tun Razak, Muadzam Shah untuk melawat seorang kakitangannya yang kematian ayah. Namun, keadaan cuaca tidak mengizinkan.

"Saya kemudian turun di Kota Bahagia dan mereka meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur. Saya terkejut apabila helikopter tersebut tidak mendarat seperti yang dijadualkan," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Helikopter itu yang membawa enam orang dilaporkan terhempas dan terbakar di Kampung Pasir Baru, Semenyih, Hulu Langat, Selangor pada pukul 4.55 petang ini.

Wan Kadri berkata, pada masa sama beliau mendapat berita daripada seorang pengawal peribadi Jamaludin memaklumkan ternampak sebuah helikopter terbang rendah dan terhempas.

''Pengawal berkenaan berada di dalam helikopter lain dan ternampak sebuah helikopter terhempas. Dia yakin helikopter yang jatuh itu dinaiki Tan Sri Jamaludin bersama lima yang lain,'' katanya.