Friday, July 19, 2013

Lagi guru mati ditembak dalam kereta



KULIM 18 Julai - Tidak sampai dua minggu selepas seorang guru penolong kanan mati ditembak di Bachok, Kelantan, seorang lagi guru menerima nasib sama selepas ditembak dua lelaki di Simpang Empat Keladi di sini hari ini.

Kejadian berlaku pukul 12.25 tengah hari ketika K. Shanmugam, 45, dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Bidara ke tempat kerjanya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Berapit, Bukit Mertajam dekat sini.

Sebaik sahaja tiba di lokasi terbabit iaitu berhampiran satu persimpangan lampu isyarat, dua lelaki bermotosikal menghampiri bahagian kanan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish dipandunya lalu melepaskan beberapa das tembakan dari jarak dekat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nashir Ya berkata, berikutan itu, kenderaan mangsa terbabas dan melanggar sebuah kereta lain di hadapannya.

"Siasatan mendapati tembakan yang dilepaskan daripada pistol jenis automatik mengenai kepala dan anggota badan mangsa. Kedua-dua suspek kemudian terus memecut melarikan diri," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Dalam kejadian pada 8 Julai lalu, seorang guru penolong kanan maut ditembak sebanyak tiga das dari jarak dekat ketika baru keluar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Beris Panchor dekat Bachok, yang dipercayai kerana masalah hutang.

Nashir seterusnya berkata, polis yang menjalankan siasatan di lokasi kejadian menemukan beberapa butir kelongsong peluru yang dipercayai digunakan suspek.

Katanya, polis masih menyiasat motif pembunuhan itu dan sekiranya kejadian tersebut mempunyai kaitan dengan pembunuh upahan.

"Kita akan mengambil keterangan daripada beberapa pihak termasuk ahli keluarga mangsa," katanya yang menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulim (HK) untuk dibedah siasat.

Sementara itu, salah seorang saksi, Mat Lin Saad, 35, berkata, semasa kejadian dia memandu kereta Perodua Viva di hadapan kenderaan mangsa.

Katanya, apabila sampai berhampiran simpang lampu isyarat tersebut, dia terdengar bunyi seperti mercun tetapi tidak menghiraukannya.

"Namun tidak lama selepas itu, saya terdengar bunyi sebuah kereta melanggar belakang kereta saya. Saya turun dan dapati orang ramai mengerumuni kenderaan mangsa.

"Mangsa yang berlumuran darah dilihat meronta-ronta di kerusi penumpang depan sebelum terduduk diam," katanya.

Seorang lagi saksi, Zulkefli Itam, 45, berkata, ketika kejadian dia berada bersebelahan jalan dan melihat dua lelaki menaiki motosikal mengekori kenderaan mangsa.

"Tidak lama selepas itu, saya terdengar bunyi seakan-akan mercun dan dua lelaki yang menaiki motosikal tersebut terus memecut laju ke arah Taman Selasih," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130719/je_01/Lagi-guru-mati-ditembak-dalam-kereta#ixzz2ZRfXJkNR
© Utusan Melayu (M) Bhd


No comments:

KEJOHANAN MERENTAS DESA  SK LADANG KOTA BAHAGIA 2022 Tarikh : 03.06.2022 Hari : Jumaat Tempat : SK Ladang Kota Bahagia Masa : 08:00-10:00 pa...